AL
acb
Tuesday, 22 August 2017
Pengalaman temuduga guru MARA
Alhamdulillah, selesai sudah temuduga untuk jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41. Satu pengalaman yang amat bermakna dan tidak akan dilupakan. Ini kali pertama saya pergi temuduga. Tempat temuduga bukan dekat, jauh nun di KKTM Lenggong Perak. Bila dapat tahu berjaya untuk ditemuduga, terus bagi tahu keluarga. Mereka gembira dan tidak kesah untuk pergi ke KKTM Lenggong. Bak kata abah, pergi saja cari pengalaman.
.
.
Sebelum berjaya untuk MARA Assessment Centre (MAC), perlu ambil ujian online dulu. Siapa yang lulus ujian online, layak untuk sesi MAC iaitu sesi pemilihan dan temuduga untuk jawatan PPPS DG41. Seminggu selepas ujian online, keputusan untuk mengikuti sesi MAC pon keluar. Dengan berkat doa orang-orang tersayang, saya layak untuk mengikuti sesi MAC di Lenggong. Persediaan untuk MAC hanya ada seminggu sahaja kerana tarikh yang tertera dalam surat tawaran adalah 17Ogos2017. Dalam hati berkata, sempat ke nak prepare untuk Micro Teaching? Untuk pengetahuan, semasa MAC nanti akan ada empat penilaian iaitu Fitness Test, Ujian Psychometric, Temu Duga dan Micro Teaching.
.
Fitness Test ni ialah ujian bleep, perlu lari 20 meter ulang alik sampai level yang kita mampu. Saya hanya mampu sampai level 3 sahaja walaupun dah training dekat rumah. Buat ikut kemampuan, kalau paksa diri, takut nanti pengsan dan tidak dapat teruskan yang lain. Rugi la kalau dah datang jauh-jauh tapi pengsan kan? Boleh tekan link untuk tengok cara ujian bleep, https://www.youtube.com/watch?v=m47nobANOt4. Makin meningkat level, makin singkat masa. Mula-mula joging je, lepas tu baru lari laju. Kalau awal-awal dah pecut, takut mengah nanti untuk level seterusnya. Saya training guna apps, boleh cari apps dekat playstore.
.
Ujian Psychometric ni macam ujian MEDSI, jawab YA/TIDAK sahaja. Boleh guna pen atau pensil. Masa untuk jawab 45 minit, ada 100+ soalan. Tiada soalan matematik atau yang sewaktu dengannya, hanya tentang diri kita.
.
Temu duga ni berkumpulan tapi bila di tanya soalan, perlu jawab secara individu. Walaupun dalam surat tawaran tidak dinyatakan perlu membawa fail untuk sijil-sijil yang berkaitan tapi saya tetap sediakan satu folder yang dah siap disusun ikut turutan. Boleh google cara menyusun sijil untuk temuduga. Setiap salinan sijil atau dokumen WAJIB disahkan walaupun tidak dinyatakan. Soalan penemuduga santai-santai saja. Mula dengan memperkenalkan diri, cerita pengalaman mengajar. Antara soalan yang ditanya ialah, apa yang awak tahu tentang MARA, KBAT tu apa?, beri hujah anda kenapa melayu malas. Jawab la dengan yakin walaupun jawapan anda merapu. Saya jawab dalam BM saja sebab kalau jawab dalam BI takut apa yang nak disampaikan kurang jelas.
.
Micro Teaching ialah amali pra-mengajar. Tajuk untuk mengajar bebas. Oleh kerana saya subjek Matematik, tajuk untuk micro teaching saya ialah EARTH AS A SPHERE tingkatan 5. Ramai yang cakap tajuk ni susah tapi berkat sokongan dari kakak saya yang juga merupakan guru Matematik, saya teruskan juga. Kita perlu sediakan rancangan mengajar harian (RPH) untuk rujukan para panel nanti. Alat bantu mengajar (ABM) perlu kreatif ikut tajuk apa yang kita ajar. Saya ajar tentang bumi, jadi ABM saya ialah globe yang dipinjam dari SMTM. Saya tiada pengalaman mengajar, dalam masa kurang seminggu tula saya belajar bercakap/mengajar di hadapan kakak saya. Dia banyak tolong saya, ajar saya cara mengajar. Masa hari kejadian, saya dapat panel yang sporting sudi berlakon jadi anak murid saya, jawab apa yang saya tanya tapi sayang saya tidak dapat habiskan pengajaran kerana masa tamat. Masa untuk micro teaching hanya 10 minit. Dalam masa yang dah habis tu saya tetap buat kesimpulan sebab kesimpulan pun ada markah. Oh ya, kalau pelajar bising atau tidur kita perlu tegur, jangan malu-malu sebab dekat situ pun ada markah. Jangan lupa pakai nametag yang macam cikgu-cikgu pakai, baru la stail.
.
.
Siapa datang awal, boleh balik awal. Jangan datang lambat sangat takut nanti pintu tutup dan tak dapat buat MAC. Rugi la kan. Hari tu saya sampai pukul 7.05 pagi dapat no giliran 100+, selesai semuanya pukul 3.30 petang. Sempat la pergi solat Zohor jamak sekali dengan Asar sebab lepas tu nak gerak balik Melaka terus.
.
.
Lega semua dah selesai, sekarang tunggu untuk keputusan je. Kalau ada rezeki, dapatlah saya jadi seorang guru di MRSM. Semoga berjaya untuk calon-calon MAC yang lain. Semoga kita dapat posting sama-sama.
Subscribe to:
Posts (Atom)